Kebanyakan penunggang tiada lesen

Nilai, Lebih separuh daripada 339 saman yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Khas Motosikal di daerah ini membabitkan kesalahan lesen memandu dan cukai jalan. Operasi berkenaan dilaksanakan sempena sambutan Tahun Baru Cina di susur masuk dan keluar Plaza Tol Nilai serta Jalan Persiaran Pusat Bandar Baru Nilai, di sini, kelmarin.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, berkata operasi turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan polis. Dalam operasi ini, kami melakukan pemeriksaan terhadap 601 motosikal, 168 kereta, 22 kenderaan barang, tujuh kenderaan perkhidmatan awam dan 12 kenderaan lain.

Daripada jumlah itu, sebanyak 339 saman dikeluarkan. Kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan saman paling tinggi, iaitu 93 saman diikuti cukai jalan tamat tempoh, sebanyak 90 saman. JPJ juga mengeluarkan lima saman atas kesalahan lesen tamat tempoh dan 65 saman kerana tiada insurans kenderaan, katanya.

Beliau berkata, JPJ turut mengeluarkan 78 saman terhadap kesalahan teknikal antaranya membabitkan cermin gelap, tiada cermin sisi, ubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran tidak menepati spesifikasi. Katanya, JAS pula mengeluarkan dua kompaun, manakala Jabatan Imigresen menahan dua individu, iaitu seorang wanita Indonesia dan seorang lelaki Pakistan kerana kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63. Beliau berkata, polis pula mengeluarkan 30 saman trafik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here