Pokok berusia 135 tahun di Taman Tasik Taiping yang tumbang ditegakkan semula

Taiping, Sebatang pokok hujan-hujan (Samanea Saman) yang berusia 135 tahun di Raintree Walk, Taman Tasik Taiping yang tumbang seminggu lalu berjaya ditegakkan semula. Menurut Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir, pokok tersebut telah ditegakkan semula dengan pemantauan secara profesional oleh Arborists Bertauliah (CA), semalam.

Beliau berkata, pokok tersebut tumbang kerana ketidakseimbangan struktur pokok yang telah condong ditambah dengan berlakunya ribut pada hari kejadian. Oleh yang demikian, pihak Majlis (MPT) akan sentiasa memastikan supaya pokok tersebut terus diselamatkan dengan sebahagian pokok tersebut akan dipangkas serta bahagian akar dan tanah akan dirawat, katanya ketika berucap sempena Mesyuarat Penuh MPT 2022 secara dalam talian, hari ini.

Khairul Amir juga memaklumkan, pokok tersebut akan berada dalam pemantauan dan selenggaraan untuk tempoh 12 bulan sehingga pulih. Katanya, sebagai langkah mengurangkan risiko pokok lain yang dalam keadaan serupa tumbang, MPT akan menyediakan sokongan penampan dalam masa terdekat selain melakukan rawatan akar. Difahamkan, sebelum ini, empat batang pokok jenis sama yang ditanam sejak era kolonial juga telah tumbang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here