Tetapkan tarikh akhir Petronas bayar cukai SST minyak kepada Sarawak

Kerajaan Sarawak digesa menetapkan tarikh tertentu kepada Petronas untuk membayar Cukai Hasil Minyak dan Gas  (SST) yang dikenakan negeri ini yang telah dipersetujuinya baru-baru ini.

Presiden Aspirasi, Lina Soo berkata demikian berkaitan kelewatan  syarikat minyak berkenaan melunaskan pembayaran SST itu.

“Tidak harus ada perundingan atau syarat-syarat lain dikenakan berhubung pembayaran berkenaan. Rakyat Sarawak tidak akan lagi bertolak ansur jika berlaku penangguhan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tegas Lina, pembayaran penuh harus  segera dibuat oleh Petronas kerana mahkamah telah membuat keputusan yang jelas tentang isu berkenaan.

Katanya lagi, Kerajaan Sarawak perlu mengambil langkah untuk memastikan Petronas segera membayar cukai tersebut bagi mengelakkan pihak tertentu menjadikan isu itu sebagai isu politik.

Pada 8 Mei lalu, Kerajaan Negeri Sarawak dan  Petronas telah mencapai kata sepakat dalam perundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan (SST) ke atas produk  petroleum di Sarawak.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa pendekatan yang terbaik  dalam mencapai penyelesaian bersama ialah melalui penyelesaian komersial bagi mewujudkan suasana  perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil,” kata Kerajaan Sarawak dan Petronas dalam kenyataan bersama petang ini.

Kenyataan tersebut ditandatangtani  Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantau Projek, Datuk Sharifah Sayeed Aman Razali dengan Pengerusi Petronas Datuk Ahmad Nizam Salleh.

“Ia merupakan pendekatan yang mampan  bagi membolehkan kelangsungan industri minyak dan gas negara terutamanya dalam keadaan pasaran minyak dan gas yang tidak menentu  pada masa ini,” kata mereka lagi.

Sehubungan itu, kata kenyataan itu, Petronas bersetuju akan menarik balik rayuan ke atas keputusan  Mahkamah Tinggi Sarawak  mengenai permohonan semakan kehakiman pada 13 Mac lalu.

Katanya, kerajaan Sarawak juga akan menggugurkan kesemua tuntutan  dalam kes sivil terhadap Petronas untuk bayaran cukai jualan ke atas produk petroleum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here