COVID-19 ragut 77 nyawa lagi

Malaysia merekodkan 77 lagi kematian akibat COVID-19, semalam, menjadikan jumlah korban kini mencecah 33,720 kes.

Data laman sesawang COVIDNOW menunjukkan 23 daripadanya ialah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID), membawa kepada jumlah 7,018 kes. Pulau Pinang mencatat angka kematian baharu yang tertinggi dengan 12 kes, termasuk tiga BID.

Ia disusuli 11 kematian baharu di Kelantan, termasuk 10 kes BID, dan Selangor juga 11 korban meliputi tiga kes BID.

Seterusnya, Kedah melaporkan sembilan kematian akibat COVID-19, semalam; Johor (lapan); Perak (tujuh termasuk dua kes BID); masing-masing empat di Perlis dan Terengganu (termasuk satu kes BID); masing-masing tiga di Negeri Sembilan (termasuk satu kes BID) dan Kuala Lumpur (termasuk satu kes BID); dua kes kematian yang juga BID di Sabah; dan masing-masing satu kematian di Melaka, Pahang serta Sarawak.

Secara keseluruhan, Malaysia menunjukkan trend peningkatan kepada kematian akibat COVID-19, iaitu sebanyak 33 peratus dalam tempoh 14 hari lalu.

Kesemua negeri merekodkan peningkatan, kecuali Sabah mencatatkan penurunan hampir 24 peratus dalam tempoh dua minggu, manakala Labuan pada kadar sifar.

Tiga negeri dan Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus bagi kematian akibat COVID-19, dengan Putrajaya mencatatkan peningkatan sebanyak 400 peratus.

Ia disusuli Perlis pada kadar 300 peratus dan Negeri Sembilan dengan pertambahan sebanyak 138 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here