Darurat demi kedudukan Muhyiddin tapi rakyat tambah derita

Pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos nanti hanya bagi menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah hilang majoriti.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, pengisytiharan darurat itu akan menambahkan lagi beban rakyat yang sebelum ini sudah tertekan dengan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Muhyiddin sudah tiada lagi majoriti. Dengan pengisytiharan darurat ini rakyat akan menderita. Pelabur-pelabur pula menganggap kerajaan tidak stabil.

 “Perdana Menteri sendiri boleh ditekan kawannya sendiri selain pihak lawan sudah semestinya.

“Oleh itu, beliau adalah Perdana Menteri hilang wibawa,” katanya ketika sesi Facebook Live menerusi NRChannelTV.Net. malam tadi.

Perikatan Nasional (PN) hari ini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja daripada 220 ahli Dewan Rakyat susulan tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menarik diri daripada menyokong kerajaan.

Semalam, Muhyiddin berkata pengisytiharan darurat di seluruh negara yang mendapat perkenan daripada Yang Di-Pertuan Agong bagi meningkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) tidak akan dilaksanakan.

Perikatan Nasional (PN) hari ini hanya memiliki sokongan 109 Ahli Parlimen sahaja daripada 220 ahli Dewan Rakyat susulan tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menarik diri daripada menyokong kerajaan.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) pula hanya memiliki 91 Ahli Parlimen manakala 17 Ahli Parlimen pembangkang lagi tidak menyertai mereka.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja mengingatkan tahap integriti yang tinggi oleh pemimpin di negara lain yang akan berundur apabila tidak mendapat mandat.

“Kalau di Korea dan Jepun, Perdana Menteri seperti ini sudah meletakkan jawatan.

“Namun, di Malaysia, dia isytihar darurat pula untuk meneruskan kuasa. Tiada kena mengena pengisytiharan darurat ini dengan Covid-19,” tegasnya.

Bekas Menteri Pertahanan itu juga berkata, usaha menangani penularan pandemik sebenarnya boleh dilakukan dengan lebih berkesan dengan penglibatan golongan pakar kesihatan.

“Covid-19 boleh ditangani dengan cara lain melibatkan kerjasama pakar-pakar kesihatan. Kita sendiri ada bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Itu sebabnya, pelaksanaan darurat ini untuk menyelamatkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, sejak tahun lalu lagi Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu mahukan darurat selepas menerima tekanan Umno yang mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) segera diadakan.

Pada 23 Oktober 2020, Muhyiddin buat kali pertama menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang memohon perkenan pengisytiharan darurat.

Walau bagaimanapun, Seri Paduka Baginda bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat ketika itu.

Desakan Umno untuk PRU-15 muncul selepas portfolio kementerian strategik atau paling penting dalam kerajaan ‘tebuk atap’ PN yang muncul ekoran Langkah Sheraton dibolot oleh Bersatu.

Walhal, Umno mempunyai 39 kerusi Parlimen berbanding 31 kerusi dimiliki Bersatu.

Pada 9 Januari lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada dasarnya bersetuju dengan usul menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here