Ivermectin tidak sesuai untuk rawatan pesakit COVID-19

Kementerian Kesihatan (KKM) sekali lagi mengulangi pendirian bahawa penggunaan Ivermectin bagi rawatan COVID-19 adalah tidak bersesuaian. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihak yang mendesak penggunaan Ivermectin untuk rawatan COVID-19 perlu menyedari bahawa Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebelum ini sudah memaklumkan, tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar untuk kegunaan manusia.

Katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 31 Mac tahun lalu juga membenarkan penggunaan Ivermectin untuk rawatan COVID-19 bagi Kajian Klinikal sahaja.  Beliau berkata, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) pada 3 April tahun lalu juga memberi kelulusan Ivermectin digunakan untuk SARS-CoV-2 dalam kajian ‘in-vitro’ di makmal dan bukan untuk manusia.

Agak ‘kecoh’ kembali oleh sesetengah pihak mendesak penggunaan Ivermectin untuk rawatan COVID-19. Kesatuan Eropah (EU) pada 27 Mei lalu, melarang Ivermectin ke atas pesakit kerana kekurangan bukti klinikal,” katanya dalam satu hantaran melalui media sosial, hari ini. Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, The Union Health and Family India, pada 7 Jun 2021 juga mengeluarkan dari senarai, penggunaan (de-listed) Ivermectin, Hydroxychloroquine dan Favipiravir untuk rawatan pesakit COVID-19.

Beliau berkata, kajian dan perhatian masih perlu diberikan terhadap laporan awal beberapa Kajian Klinikal di luar negara berkenaan Ivermectin. Pada masa sama, beliau berkata, Kajian Klinikal di 12 hospital di Malaysia terhadap 500 pesakit risiko tinggi COVID-19 yang mendapati Ivermectin tidak berkesan dalam rawatan terhadap jangkitan itu juga sudah dilaporkan di Journal JAMA.

Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) bawah Institut Kesihatan Negara Kementerian Kesihatan (KKM) pada November lalu mengumumkan dapatan kajian Ivermectin (I-TECH) membabitkan 500 pesakit Kategori 2 dan 3 yang dirawat di hospital.

Kajian klinikal yang dijalankan secara ‘open-label randomised’ itu menilai keberkesanan rawatan lima hari Ivermectin (0.4mg/kg/hari) berserta penjagaan standard (kumpulan IVM), berbanding dengan hanya penjagaan standard (SOC) yang berdasarkan garis panduan KKM untuk pesakit COVID-19 di 20 hospital kerajaan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0.

Dalam satu kenyataan Dr Noor Hisham, berhubung hasil kajian I-TECH, pada 3 November lalu, beliau menyatakan Pengarah ICR, Dr Kalaiarasu M Peariasamy, memaklumkan bahawa kajian itu menunjukkan kadar kemerosotan penyakit COVID-19 kepada tahap teruk adalah sama dalam kumpulan IVM jika dibandingkan dengan kumpulan SOC, iaitu masing-masing pada 21.2 peratus dan 17.3 peratus.

Beliau dilaporkan berkata, bagi dapatan yang sama, purata tempoh kemerosotan adalah 3.0 hari bagi kumpulan IVM dibandingkan dengan 2.9 hari untuk kumpulan SOC, namun tiada perbezaan yang signifikan dari segi statistik.

Ada pihak masih mendesak penggunaan Ivermectin untuk rawatan Covid-19. Beberapa Fakta Asas yg Wajar Diketahui:

1) NPRA memaklumkan tiada produk dgn bahan aktif Ivermectin berdaftar utk kegunaan manusia.

2) WHO membenarkan Ivermectin utk rawatan Covid19 Kajian Klinikal sahaja

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here