Perincian kadar gaji minimum akan diumum

Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengumumkan perincian mengenai mekanisme dan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 yang dijadual bermula 1 Mei ini. Menterinya, Datuk Seri M Saravanan, berkata kementerian menyambut baik pelaksanaan kadar gaji minimum baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, semalam, yang jelas seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan pekerja.

Langkah ini juga dijangka memberi sumbangan positif dalam merangsang ekonomi negara melalui peningkatan kuasa beli pekerja, katanya dalam kenyataan, hari ini. Semalam, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO mengumumkan kadar gaji minimum baharu RM1,500 mula dilaksanakan bermula 1 Mei ini di seluruh negara, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan yang akan bermula pada Hari Pekerja itu hanya akan membabitkan majikan syarikat besar terlebih dulu. Katanya, kerajaan akan menangguhkan dulu pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi yang berdepan pengurangan pendapatan atau tidak mampu membayar kadar berkenaan.

Minggu lalu, Saravanan mengumumkan penetapan gaji minimum baharu RM1,500 yang pada mulanya dijadual dilaksanakan pada hujung tahun ini, akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas mengambil kira situasi ekonomi yang bertambah baik.

Cadangan penetapan kadar gaji itu bagaimanapun dibantah Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) atas alasan ekonomi negara belum pulih sepenuhnya, selain berdepan isu pengangguran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here