Empat maut termasuk seorang rentung

Pendang: Empat individu meninggal dunia, termasuk seorang daripadanya ditemukan rentung, selepas dua kereta terbabit kemalangan di Kilometer 58.2 Lebuhraya Utara Selatan, dekat sini, hari ini. Kemalangan 2 pagi itu menyebabkan Nissan Almera musnah 90 peratus terbakar, manakala Proton Wira pula dilaporkan terbalik, namun tidak terbakar.

Setakat ini, tiga mangsa maut di dalam Proton Wira yang terdiri daripada dua lelaki berusia 26 dan 49 tahun, manakala seorang lagi adalah wanita berusia 52 tahun.

Identiti mangsa yang ditemukan rentung di dalam Nissan Almera itu, masih belum diketahui. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima laporan berhubung kebakaran kereta terbabit pada 2.22 pagi.

Mangsa pertama iaitu pemandu Proton Wira berjaya dikeluarkan pada 4.07 pagi dan disusuli mangsa kedua. jam 4.28 pagi. Mangsa ketiga berjaya dikeluarkan jam 5.43 pagi, manakala mangsa yang rentung berjaya dikeluarkan oleh anggota penyelamat, sebelum kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sayani berkata, berdasarkan penilaian awal, mangsa yang rentung dipercayai lelaki, namun identitinya belum diperolehi setakat ini. Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.05 pagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here