1,910 kes dera, abai kanak-kanak ketika tempoh Covid-19

Shah Alam: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan sejumlah 1,910 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dikesan dalam tempoh pandemik Covid-19, bermula Mac 2020 sehingga Mac tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata, jumlah itu berdasarkan data dan maklumat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Jenis penderaan yang direkodkan membabitkan penderaan fizikal sebanyak 686 kes, manakala penderaan seksual sebanyak 606 kes. Sementara itu, penderaan dari segi emosi pula sebanyak 63 kes dan pengabaian kanak-kanak (555 kes). Ini adalah gejala sosial yang berbangkit akibat pandemik Covid-19 yang direkodkan oleh JKM Selangor, katanya menjawab soalan Mazwan Johar (PH-Sungai Ramal).

Mengenai Indeks Jenayah sepanjang pandemik pula katanya, berdasarkan statistik Polis Kontinjen Selangor, sejumlah 4,633 kes dilapor adalah jenayah kekerasan dan 13,359 kes jenayah harta benda. Antara jenayah kekerasan ini adalah rogol (364 kes), bunuh (80 kes), samun berkawan tanpa bersenjata api (1,798 kes), samun tanpa bersenjata api (1,233 kes) dan mencederakan (1,156 kes).

Selain itu, jenayah harta benda babit curi motosikal (4,123 kes), kecurian 4,122 kes dan pecah rumah (3,393 kes), katanya. Beliau memaklumkan berlaku tambahan permintaan terhadap sesi kaunseling ketika Covid-19 terutama sesi yang dilaksana secara dalam talian, dengan 86 klien pada 2019, meningkat kepada 251 klien pada 2020, selain 214 klien tahun lalu.

Katanya, analisis data Pusat Kaunseling Selangor (PKS) mendapati antara aduan yang diterima berhubung keretakan hubungan suami isteri dan anak-anak selain, psikopatologi iaitu isu berkaitan kesihatan mental serta psikologi abnormal (tekanan, kemurungan, kebimbangan dan lain-lain).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here