Lebih separuh jangkitan HIV berpunca hubungan seks sejenis

Sebanyak 90 peratus jangkitan HIV adalah berpunca daripada golongan lelaki dan 57 peratus adalah disebabkan hubungan seks lelaki dengan lelaki (homoseksual/MSM) terutama dalam kalangan belia yang berumur di antara 20 hingga 39 tahun.

Ketua Jururawat Kaunseling HIV/ AIDS, Unit Kejururawatan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Nik Mohd Irwan Nik Pa, berkata hubungan seks sejenis dilakukan sesama lelaki terbahagi kepada insertif dan reseptif, yang mana cara reseptif berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kerana lapisan dinding anus yang nipis memudahkan jangkitan virus HIV.

Katanya, homoseksual ialah orientasi nafsu dalam hubungan tarikan personel, emosional, romantik, perasaan cinta dan sayang serta seks sejenis atau sesama gender. Antara faktor menyebabkan homoseksual ialah kecelaruan orentasi seksual ketika remaja yang dikurniakan bentuk tubuh tidak selari dengan naluri iaitu mempunyai naluri wanita yang berada di dalam badan lelaki dan trauma semasa kanak-kanak serta pernah mengalami gangguan seksual ketika kanak-kanak hingga menyebabkan ketagihan, katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, selain itu penagih dadah juga adalah antara golongan berisiko tinggi menghidap jangkitan HIV disebabkan mereka berkongsi jarum dan alat suntikan selain lelaki yang mengadakan hubungan seks sejenis, transgender (LGBT) dan pekerja seks. Penyakit HIV atau ‘Human Immunodeficiency’ boleh dijangkiti melalui cecair dalam badan seperti darah, cecair rektal, susu ibu serta jangkitan melalui hubungan seks rambang atau seks songsang serta perkongsian jarum suntikan yang terkena jangkitan,katanya.

Nik Mohd Irwan berkata, konflik dalam keluarga dan mendapat keseronokan di luar rumah melalui perhubungan dengan rakan sejenis yang dianggap boleh menggantikan ibu bapa serta kekurangan komunikasi dengan ibu bapa juga boleh menyumbang kepada masalah homoseksual dan pendedahan kepada video porno serta rasa ingin mencuba sebelum perkahwinan.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memantau tingkah laku serta pergerakan anak mereka selain memberi perhatian sepenuhnya agar anak tidak berasa kurang kasih sayang sehingga mereka terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini masih belum ditemui lagi ubat yang mampu menyahkan virus HIV daripada badan manusia, namun pesakit HIV boleh dirawat dan boleh kembali menjalani hidup normal seperti orang lain melalui rawatan antiretroviral (ARV) yang konsisten dan kepatuhan terhadap rawatan dijadualkan.

Selain itu, jumlah virus yang berada dalam badan pesakit juga akan berkurangan sehingga aras virus tidak boleh dikesan lagi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menetapkan bahawa virus yang tidak boleh dikesan serta tidak boleh dipindahkan kepada orang lain dianggap memberi lembaran baharu kepada pesakit kerana mereka sudah bebas daripada penyakit HIV dan boleh meneruskan kehidupan seperti biasa iaitu berkahwin dan mendapat zuriat.

Pesakit boleh mendapatkan rawatan ARV di mana-mana kklinik atau hospital kerajaan secara percuma bermula dengan melakukan ujian saringan, rawatan susulan serta mendapatkan khidmat kaunselor yang dilantik untuk membantu pesakit-pesakit.

Saya juga ingin menasihati kepada semua pesakit supaya membuat rawatan awal bagi mengelak jangkitan merebak kepada pasangan atau orang lain selain mendapat komplikasi yang lebih teruk lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here