Motosikal terbabas, remaja maut tersangkut besi penghadang jalan

Melaka: Remaja lelaki ditemukan meninggal dunia dengan badan tersangkut antara besi penghadang jalan dan pokok selepas motosikal ditunggang terbabas di Jalan Krubong-Tampoi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, mangsa Firdaus Shah Zainal 18, maut di lokasi akibat kecederaan parah di badan dan kepala. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan penunggang Modenas Kriss itu pada jam 10.35 pagi.

Katanya, mangsa dari arah Jalan Krubong menghala ke Jalan Perindustrian Krubong-Tampoi dan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas merempuh penghadang besi sebelah kiri jalan. Siasatan mendapati mangsa terpelanting dan tersangkut di antara penghadang besi dan pokok di tepi jalan.

Pemeriksaan pegawai penyiasat di lokasi kemalangan mendapati ketika kejadian cuaca adalah baik. Kita percaya kemalangan berlaku disebabkan kegagalan manusia mengawal kenderaan, katanya dihubungi di sini. Katanya, mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bedah siasat dijangka dilakukan esok selepas mendapat keputusan ujian Covid-19 yang dibuat hari ini.

Motosikal mangsa turut dibawa ke balai polis sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan, katanya. Dalam pada itu, Hasan Basri menasihati orang ramai tidak menyebarkan video memaparkan keadaan mayat demi menjaga aib dan kehormatan keluarga remaja terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here