Hapus data 38 juta pengguna pada MySejahtera selepas pandemik

Data membabitkan kira-kira 38 juta pengguna MySejahtera dicadang dihapuskan selepas pandemik COVID-19 berjaya dikawal dan negara beralih sepenuhnya ke fasa endemik. Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai ketika membangkitkan cadangan itu berkata kerajaan perlu mengehadkan tempoh simpanan data pengguna dalam aplikasi terbabit untuk tempoh tertentu, sebelum ia dihapuskan sepenuhnya.

Katanya, langkah itu bagi memastikan data berkenaan khusus digunakan untuk kawalan COVID-19 semata-mata, serta mengatasi risiko kecurian data peribadi pengguna rakyat Malaysia. Adakah data itu akan dipadam atau dihapuskan selepas tempoh tertentu seperti dalam tempoh enam bulan lagi. Mungkin Kementerian Kesihatan (KKM) kata tiada masalah untuk simpan data ini, tetapi bagaimana jika ada pihak menggodam pangkalan data, katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17(1) bagi mendapatkan penjelasan Menteri Kesihatan mengenai kontroversi MySejahtera di Dewan Negara, hari ini. Dalam pada itu, beliau berkata merujuk instrumen kawal selia kewangan seperti diamalkan negara zon ekonomi Eropah serta United Kingdom, sesebuah rekod data disimpan untuk tempoh maksimum tujuh tahun sahaja dan selepas itu perlu dihapuskan.

Adakah KKM bersetuju untuk data ini dihapuskan dan berapa lama tempoh penyimpanan rekod MySejahtera sebelum dihapuskan? Saya cadangkan dalam kadar segera selepas fasa transisi endemik mencapai tahap memuaskan katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here