Putrajaya, Jan-
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bermula Khamis bagi tiga kesalahan, antaranya membabitkan had laju.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A); Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
“Biasanya kompaun bagi ketiga-tiga kesalahan ini ialah RM300. Jadi kita beri satu kadar kompaun khas bermula esok, 3 Januari, bagi tempoh selama enam bulan supaya mereka (pesalah trafik) dapat menyelesaikan kompaun ini.
“Sekiranya ia tidak diselesaikan juga, mereka tidak boleh perbaharui lesen memandu atau lesen kenderaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pejabat Baharu JPJ Putrajaya.
Dalam pada itu Anthony menjelaskan, pembayaran saman berkenaan boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya hadir ke kaunter JPJ, kaunter bergerak serta aplikasi myJPJ.