Kejar komisyen 10 peratus, doktor rugi lebih RM170,000

Terpengaruh dengan komisyen sebanyak 10 peratus daripada harga barang yang dibeli, membuatkan seorang doktor wanita ditipu sindiket kerja sambilan hingga kerugian lebih RM170,000. Mangsa yang berusia 29 tahun itu, mulanya berkenalan dengan seorang wanita yang menawarkan kerja sambilan secara pemasaran digital menerusi sesawang dalam talian pada 8 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (KSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata mangsa mendakwa diberi tujuh tugasan membeli barang di laman web berkenaan dan dijanjikan komisyen selepas semua selesai. Terdahulu, mangsa berkenalan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai June, melalui media sosial dan menawarkan pekerjaan sambilan dalam satu laman web beli-belah.

Mangsa yang berminat kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp 821 Capital E Commerce Freelance yang diuruskan seorang lelaki dikenali sebagai Alex, katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Aibee berkata, wanita itu diberikan satu tugasan untuk membuat pembelian barang di laman web beli-belah terbabit dan akan menerima komisyen. Tugasan pertama mangsa adalah membeli barangan bernilai RM99 dan dia menerima komisyen sebanyak 10 peratus daripada modal yang dibuat. Selepas itu mangsa diberikan tujuh tugasan lain.

Mangsa kemudiannya membuat tujuh transaksi pada 9 April lalu kepada tujuh akaun milik individu berbeza dengan jumlah keseluruhan bernilai RM173,888, katanya. Beliau berkata, doktor wanita itu dijanjikan akan menerima komisyen atas pembelian barang berkenaan pada 10 April.

Bagaimanapun, mangsa rasa ditipu selepas sindiket meminta supaya membuat pembayaran bagi perlindungan diri sebanyak RM74,875 untuk menebus modal dan komisyen yang dijanjikan itu, katanya. Aibee berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai diminta supaya lebih berhati-hati menerima tawaran pulangan wang yang tidak masuk akal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here