OKT meninggal dunia selepas diserang sawan

Kuala Lumpur: Lelaki yang ditahan atas kesalahan dadah dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di Penjara Satelit Beranang, Beranang, Selangor selepas disyaki diserang sawan, semalam. Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit tidak mengaku salah dan tiada penjamin. Orang kena tahan (OKT) kemudian ditumpangkan di lokap Balai Polis Kajang, Selangor sebelum dihantar ke Penjara Satelit Beranang bagi reman penjara. Pada 13 April (semalam) jam 10.30 pagi, anggota bertugas dimaklumkan bahawa OKT disyaki diserang sawan dan menghubungi pihak hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, petugas hospital tiba di penjara terbabit pada 10.45 pagi dan membuat pemeriksaan sebelum OKT dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Semasa dalam perjalanan ke hospital, Penolong Pegawai Perubatan mengesahkan OKT meninggal dunia dan punca kematian belum diketahui. Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes itu, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here