Tragedi berkelah di Sungai Kiulu

Tuaran: Keseronokan dua rakan berkelah dan mandi-manda di Sungai Kiulu, Kampung Rugading Kiulu di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripadanya lemas, petang tadi. Lelaki berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas ditemui penduduk kampung jam 4.30 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.22 petang. Katanya, seramai sepuluh anggota bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Sebaik pasukan bomba tiba, kedua-dua mangsa ditemui penduduk kampung namun salah seorangnya tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital Tuaran. Seorang lagi rakan mangsa berusia lingkungan 20-an sempat diselamatkan namun mengadu sesak nafas dan diberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke hospital Tuaran, katanya dihubungi.

Abdul Qawie berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Pasukan bomba mengambil masa 45 minit ke lokasi yang mengambil jarak sejauh 32 kilometer. Seterusnya, pemeriksaan lokasi bagi mencegah bahaya lain dijalankan sebelum menamatkan operasi jam 6.15 petang,katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here