Sepang, Mei-
Jabatan Imigresen melancarkan Ops Sasar secara besar-besaran di 16 lokasi seluruh negara semalam dengan menyasarkan sektor yang bergantung kepada warga asing sebagai tenaga kerja.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata operasi itu bertujuan memberi amaran kepada semua pihak terbabit khususnya golongan majikan supaya tidak menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja.
Katanya, sektor yang menjadi tumpuan adalah pembinaan, perladangan dan perkhidmatan yang lazimnya menggunakan pekerja warga asing.
*Sebanyak 16 operasi Ops Sasar dijalankan serentak mengikut ketetapan waktu yang sama (10.30 pagi) di seluruh negara bertujuan mengingatkan majikan supaya tidak mengambil pekerja PATI.
“Bermula Januari sehingga semalam seramai 30,993 warga asing sudah dikenakan tindakan dan 634 majikan juga sudah ditangkap. Dijangka jumlah akan terus meningkat sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sebuah tapak pembinaan di Cyberjaya, di sini.
Jafri berkata dalam operasi itu, beberapa warga asing bertindak agresif ketika cuba melarikan diri bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.Katanya, seramai 223 individu diperiksa sebelum 129 PATI ditahan berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, operasi itu dijalankan berikutan aduan dan risikan di lokasi-lokasi terbabit yang dikatakan menjadi tumpuan pekerja warga asing termasuk golongan PATI.
“Kita sedia maklum bahawa kita punya KPI (petunjuk prestasi utama) untuk tahun ini. Jadi kita akan cuba mendakwa seberapa maksimum majikan yang melanggar peraturan.
“Kita sememangnya tegas dan komited dalam memburu PATI serta majikan dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan ke atas majikan melanggar peraturan termasuk menggantung kuota pengambilan pekerja mereka atau tindakan sivil,” katanya.



















