Dua maut, tiga parah dalam dua kemalangan di Tapah

Tapah, Dua maut manakala tiga lagi cedera parah dalam dua kemalangan melibatkan tiga kereta dan sebuah motosikal di sini, petang semalam.

Mangsa penumpang kereta, M. Muthukumaran 50 dan penunggang motosikal, Mohd Burhanuddin Mohd Sargi, 36, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian pertama, sebuah kereta jenis Perodua Viva bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Corolla di Kilometer 60, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, kira-kira jam 4.25 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Perodua Viva dipandu dari arah Bidor menuju ke Tapah manakala Toyota Corolla dari arah Tapah ke Bidor.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Viva yang telah hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Corolla yang datang dari arah bertentangan,” katanya di sini, hari ini.

Katanya lagi, kemalangan itu menyebabkan Muthukumaran yang menaiki Toyota Corolla meninggal dunia di Hospital Tapah, manakala rakannya, pemandu kereta, A. Nokkalu, 56, dan penumpang hadapan, V.M Kumuthavalli, 56, cedera parah.

Turut mengalami kecederaan parah ialah pemandu Perodua Viva yang juga seorang anggota tentera, Mohammad Affendy Abdullah, 40.

Wan Azharuddin berkata, dalam kemalangan kedua kira-kira jam 6.55 petang, motosikal yang ditunggang Mohd Burhanuddin dipercayai terbabas sendiri lalu mengelongsor ke laluan sebuah kereta jenis Toyota Vios di sebelah kanan di Kilometer 347 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Menurutnya, mangsa yang cedera parah serta mengalami patah tulang pinggul dan paha kanan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tapah kira-kira jam 9.50 malam tadi.

Pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here