Gaduh tengah jalan, dua lelaki ditahan

Kuching: Dua lelaki yang bergaduh di tengah jalan raya berhampiran Hospital Umum Sarawak (HUS) ditahan selepas video pergaduhan mereka tular di Facebook. Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku di Jalan Hospital, kira-kira 2 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku berpunca daripada pergeseran kenderaan antara kedua-dua suspek. Pasukan polis berjaya mengesan dan menangkap dua lelaki tempatan yang terbabit dalam kejadian gaduh itu, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Katanya, saringan ujian air kencing juga mendapati kedua-duanya negatif dadah. Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan permohonan reman dilakukan hari ini.

Ahsmon berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here