PRU-15: MIC sedia tampil calon India Muslim

MIC bersedia menunjukkan calon India Muslim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika diperlukan. Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran, berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan parti Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, baru-baru ini.

Kita memang tiada masalah. Jika ada tempat yang kita ada tekanan, mesti ada calon Islam atas sebab-sebab tertentu, kita bersedia kerana kita ada calon India Muslim yang boleh bertanding.

Asalkan kerusi-kerusi (tradisi) MIC ini kita yang berdiri dan kita yang buat keputusan siapa yang berdiri, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Presiden MIC di sini semalam. Turut hadir, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan.

Vigneswaran turut berikrar selain memastikan hak kaum India, parti itu akan terus menjaga dan membela nasib masyarakat India Muslim di negara ini.

Utusan Khas Perdana Menteri ke India dan Asia Selatan itu berkata, parti berusia 76 tahun terbabit tidak pernah memihak kepada masyarakat India Muslim seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Beliau juga memberi jaminan bahawa anak India Muslim akan menerima hak sama rata dalam pemberian biasiswa dan pinjaman Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), entiti milik MIC.

Katanya, beliau juga akan berusaha menyelesaikan isu kewarganegaraan India Muslim yang masih tidak mempunyai kad pengenalan.

Menyentuh keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang ingin bergerak secara solo pada PRU-15, Vigneswaran berkata setakat ini, MIC bersetuju malah sedia menerima kerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya itu jika ada yang berhasrat menyertai BN.

Pada PRU-14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak, Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang). Parti itu hanya memenangi dua kerusi iaitu Parlimen Tapah dan Cameron Highlands. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here