Polis pukul pesalah trafik ditukar bahagian

Enam anggota termasuk pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah ditukar serta-merta selepas didakwa mengasari pesalah trafik di Bukit Mertajam, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya juga sedang mengesan mangsa yang terlibat dalam insiden itu untuk membantu siasatan.

Satu laporan polis sudah dibuat oleh pihaknya sendiri bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu yang berlaku pada 1.15 pagi.

Insiden itu dirakam menerusi kamera papan pemuka seorang pengguna jalan raya sebelum dimuat naik akaun Facebook ‘My Penang Hometown’.

Polis sedang mengesan mangsa yang terlibat untuk tampil membuat laporan polis berkaitan insiden itu. Kita juga akan mengetahui pasti serta mendapatkan keterangan daripada pemilik akaun Facebook berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, kertas inkuiri polis sudah dibuka dan pihaknya akan merujuk kepada Pendakwa Raya bagi arahan lanjut selepas siasatan terbabit selesai. Setakat ini, semua pegawai dan anggota trafik yang dipindahkan ke bahagian pentadbiran dan dilucutkan sementara daripada menjalankan tugas hakiki.

Polis Pulau Pinang akan menjalankan siasatan yang telus dan memberikan keadilan kepada semua pihak yang terbabit, katanya. Difahamkan, pesalah trafik berkenaan ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan menerusi Ops Selamat 18 di kawasan Bukit Mertajam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here