Usaha jejaki baki 60 pelarian Rohingya lari dari depot imigresen diteruskan

Larut: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan masih terdapat 60 tahanan pelarian etnik Rohingya yang lolos diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Kedah bulan lalu, masih bebas di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sehubungan itu operasi mengesan mereka kini masih giat dijalankan pihak berkuasa. Menurutnya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dalam menjejaki dan mengenal pasti lokasi mereka berada.

Kebanyakan saki baki etnik Rohingya itu kita kesan dan tangkap di beberapa tempat dan kebanyakannya di sekitar Selangor dan Perak. Bagaimana pun kita yakin mereka yang masih bebas itu akan dapat kita tahan dalam masa terdekat, katanya pada Majlis Jamuan Hari Raya di Dewan Majlis Daerah Selama di sini, hari ini.

Pada 20 April lalu, media melaporkan seramai 528 tahanan Etnik Rohingya melarikan diri dari depot tahanan sementara itu dengan memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang kira-kira jam 4.30 pagi. Dalam kejadian itu enam dilaporkan maut dalam kemalangan ketika cuba melintas jalan raya di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here