Putrajaya, Ogos-
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ berlangsung di Dataran Putrajaya di sini untuk tontonan rakyat bermula 8 pagi ini.
Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah selain kehadiran barisan Jemaah Menteri serta perwakilan asing.
Sambutan kemuncak itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.
Antara kelainan sambutan kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia Madani yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara dengan memperagakan pakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.
Keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.



















