Manjung: Lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini, hari ini atas pertuduhan memandu van sekolah secara melulu dan melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan di sini, pada 11 Mei lalu.
Tertuduh, M Raman 74, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu van sekolah jenis Isuzu secara melulu dengan melawan arus yang dirakam oleh pemilik akaun TikTok, blackhyppo_7. Lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai kereta terpakai di Jalan Lumut-Sitiawan pada 7.15 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika disabit kesalahan. Seseorang yang disabit kesalahan mengikut seksyen itu juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Norafida Leman, manakala tertuduh diwakili S Dharmanathan. Mahkamah kemudiannya membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun hadpaan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.
Sebelum ini media melaporkan, tindakan lelaki warga emas itu memandu van sekolah secara berbahaya dan melawan arus tular di media sosial. Ketika itu pemandu berkenaan membawa lapan pelajar sekolah berusia 13 tahun dan 14 tahun untuk dihantar ke rumah masing-masing dari sekolah.



















