UUM tarik larangan, benarkan penuntut solidariti kematian Vinosiny

Alor Setar: Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak menghalang mana-mana penuntutnya terbabit dalam sebarang aktiviti bagi menunjukkan solidariti terhadap kematian mendiang R Vinosiny, 21, minggu lalu.

UUM dalam kenyataannya berkata, berikutan kes kematian membabitkan mendiang masih dalam siasatan polis, maka semua penuntut perlu menjaga tingkah laku bagi mengelak berlaku sebarang masalah.

“Untuk makluman, pihak universiti tidak menghalang mana-mana penuntut daripada terbabit dalam sebarang aktiviti yang menunjukkan solidariti terhadap kematian mendiang R Vinosiny.

“Walau bagaimanapun, pihak universiti menasihatkan penuntut agar sentiasa berhemah dalam apa jua tindakan memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum ini, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM dalam notisnya pada Jumaat lalu, melarang penuntutnya terbabit dalam sebarang aktiviti atau penganjuran aktiviti berkaitan kes kematian mendian R Vinosiny.

Notis terbabit meminta agar semua kekal tenang berikutan kes itu masih dalam siasatan polis selain mengingatkan penuntutnya tidak terbabit dalam apa-apa aktiviti seperti forum atau dialog atau membuat sebarang penyataan, spekulasi, andaian atau pendapat berkaitan kes berkenaan.

Pihak universiti turut memberi amaran sekiranya terdapat pelajar melanggar arahan itu atau mana-mana peraturan yang ditetapkan, maka UUM boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar berkenaan.

Dalam kejadian 21 Mei lalu, penuntut semester empat Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) UUM, R Vinosiny ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di biliknya sebelum disahkan meninggal dunia.

Bagaimanapun, siasatan awal polis mendapati penuntut terbabit dipercayai mengalami serangan sawan, namun pihak berkuasa masih menunggu laporan kimia berhubung kematiannya.-HM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here