4 maut seorang parah, nahas dua kereta

Empat maut, seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari arah Subang menghala ke Kelana Jaya, dekat sini, pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya yang menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 4.11 pagi segera ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

Siasatan mendapati, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah Proton Wira Aeroback yang berlanggar dengan Proton Wira Sedan.

Lima mangsa terbabit dalam kemalangan itu, empat mangsa iaitu dua wanita dan dua lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Mangsa kelima iaitu seorang lelaki yang cedera parah diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, siasatan awal menemui, kereta Proton Wira Aeroback dipandu oleh salah seorang daripada empat mangsa yang maut.

Mangsa yang berumur 28 tahun terletak di dalam kenderaan yang dipandunya dan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Sementara itu, kereta Proton Wira Sedan dinaiki dua lelaki dan dua wanita di mana tiga daripadanya meninggal dunia dan seorang yang parah. Kesemua mangsa adalah warga tempatan yang berumur antara 27 hingga 30 tahun, katanya.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here