Hukuman mati mandatori dimansuhkan: Perlu pinda hukuman alternatif

Pemansuhan hukuman mati mandatori memerlukan Parlimen untuk meminda undang-undang sedia ada bagi mewujudkan hukuman alternatif kepada pesalah sebagai satu pengajaran kepada mereka. Ketua Kluster Perundangan, Governans dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata kajian sudah lama dibuat oleh jawatankuasa terdiri daripada pakar yang mengkaji secara mendalam hukuman mati mandatori yang sepatutnya dihapuskan.

Katanya, beliau melihat keputusan memansuhkan hukuman mati mandatori itu adalah baik kerana secara amnya ia tidak begitu berkesan mengurangkan kesalahan jenayah. Sebagai contoh berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 jika dadah dimiliki untuk tujuan pengedaran pesalah akan dikenakan hukuman mati mandatori, tetapi sehingga kini kes pengedaran dadah masih banyak walaupun berpuluh tahun melaksanakan hukuman itu.

Jadi saya berpendapat ia tidak berkesan dan perlu mengambil pendekatan berlainan dalam menangani isu ini, katanya ketika dihubungi hari ini. Nik Ahmad Kamal berkata, kerajaan perlu mengkaji satu hukuman alternatif yang dapat memberi kesan dan pengajaran kepada pesalah selain memberi peluang kedua dengan membantu mereka kembali ke jalan normal.

“Jawatankuasa khas yang dibentuk perlu mengkaji hukuman alternatif itu supaya dapat dibentang rang undang-undang untuk dipinda. Bagaimanapun, mungkin ada yang tidak bersetuju membabitkan kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori kerana ada yang beranggapan mati mesti dibalas dengan mati,” katanya.

Beliau berkata, jadi perkara itu perlu dilihat apabila pindaan undang-undang dibuat kelak perlu mengambil kira Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika dipinda apakah alternatif penjara seumur hidup sudah mencukupi atau kita boleh kembali kepada undang-undang Islam mengikut hukum Qisas,” katanya.

Sementara itu, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, hukuman mati itu masih wujud tetapi hakim mempunyai pilihan lain mengikut budi bicaranya dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah. Beliau berpendapat, hukuman berat dengan penjara seumur hidup boleh dikenakan kepada pesalah selepas kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori kepada pesalah.

Bagaimanapun, kita kena lihat kepada keadaan kes itu kerana hukuman dijatuhkan mengikut keadaan sama ada serius kes itu atau tidak. Jika kes itu terlampau serius, maka boleh dijatuhkan hukuman mati namun jika kes itu kurang serius seperti pesalah diarahkan oleh seseorang untuk melakukan jenayah itu kemungkinan penjara seumur hidup boleh dikenakan, katanya.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here