Lelaki maut, tersepit antara dua jentera

Kuala Terengganu: Lelaki maut selepas tersepit antara dua jentera penurap jalan, dalam kejadian di Kampung Kubang Ikan, di sini pada 10.45 pagi, hari ini. Wan Endok Wan Salleh, 59, dilapor meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, sebelum kejadian itu terdapat tiga jentera penurap jalan diletakkan di tepi jalan untuk digunakan bagi kerja penurapan di situ. Katanya, mangsa yang tinggal di kawasan berhampiran dikatakan datang ke kawasan jentera berada dan bersembang dengan pekerja penurapan itu.

Ketika mangsa sedang bersembang, seorang pekerja menghidupkan sebuah jentera untuk memulakan tugas dan cuba mengundurkan jentera itu. Bagaimanapun, jentera terbabit terlanggar jentera yang berada di tengah-tengah, sekali gus menyebabkan ia bergerak ke belakang dan melanggar sebuah lagi jentera.

Mangsa didakwa berdiri di tengah, antara dua jentera berkenaan dan telah tersepit, katanya di sini, hari ini. Menurutnya, hentakan kuat menyebabkan mangsa cedera di dada dan badan, manakala mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, untuk tindakan lanjut. Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here