Polis siasat video tular sokong hina nabi

Kuala Lumpur: Polis menyiasat rakaman video TikTok yang memaparkan kumpulan lelaki dipercayai warga asing berkumpul di hadapan kuil di Batu Caves dan menyatakan sokongan terhadap penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan berhubung video itu yang dimuat naik menggunakan nama @ganggarammahto280.

Katanya, dalam video itu individu berkumpul menyatakan pendirian mereka menyokong tindakan ahli politik India yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW.

Rakaman video berdurasi satu minit 18 saat itu mendapat 16,000 tontonan, 302 komen dan turut dikesan melalui aplikasi media sosial lain seperti Facebook dan WhatsApp.

Siasatan berhubung video berkenaan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman dan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau golongan awam,  katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata, selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyerahkan kepada pihaknya untuk melakukan siasatan lanjut, selain menggalakkan orang ramai cakna terhadap sebarang perkara yang menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil tindakan terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat keteteraman serta keselamatan awam, katanya.- HM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here