Ajal pergi ke sekolah

Petaling Jaya: Perjalanan seorang pelajar Tingkatan 4 pergi ke sekolah bertukar tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditungganginya melanggar sebuah kereta di Persimpangan Persiaran Mahogani-Jalan Rimba Riang 9/1, Kota Damansara, di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu 7.30 pagi tadi.

Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku 7.25 pagi ketika mangsa berusia 16 tahun berkenaan yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan ke sekolahnya dari Jalan Kuala Selangor-Kepong menghala ke Kota Damnsara. Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dari arah hadapan ketika MPV itu mahu masuk simpang kanan Jalan Rimba Riang 9/1,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Siasatan berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan, katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya tidak membenarkan anak memandu tanpa lesen kerana tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here