Tadika PASTI hangus terbakar

Seramai 38 pelajar dan enam guru di sebuah premis tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Jalan Tengku Osman berhadapan detik cemas selepas sekolah terbabit mengalami kebakaran, di sini semalam.

Difahamkan kebakaran yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu disebabkan litar pintas elektrik di bahagian tingkat atas sekolah itu.

Menurut saksi yang melihat kejadian itu, dia mendengar tiga kali letupan kecil dipercayai daripada arus elektrik sebelum melihat api dari tingkat atas sekolah itu.

“Tidak sampai beberapa minit selepas letupan itu, api mula marak dan merebak keseluruhan kawasan itu, tambahan pula struktur sekolah di tingkat atas daripada kayu.

“Kami melihat guru dan murid berlari keluar menyelamatkan diri tanpa sempat memakai kasut ke kawasan selamat sebelum membantu mereka menyeberang jalan ke kawasan jauh daripada kawasan kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penguasa II Bomba Zon Tawau Mohd Khushairy Deraman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 2.06 petang.

“Sebaik menerima panggilan itu, seramai 16 anggota bersama kekuatan logistik dua jentera FRT dan sebuah jentera kecemasan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota bomba di lokasi kejadian, api sudah marak hampir keseluruhan premis dan kerja-kerja pemadaman dilakukan bagi mengelak api merebak ke kawasan rumah berhampiran,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurutnya, kesemua penghuni premis terbabit yang terdiri 18 lelaki, 20 perempuan serta enam guru berjaya keluar menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

“Api dapat dikawal pada jam 2.30 petang dan buat masa ini kerja-kerja memadam masih diteruskan, manakala punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here