Bekas Timbalan Presiden MIC meninggal dunia

Kuala Lumpur: Bekas timbalan presiden MIC Tan Sri S. Subramaniam meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor malam ini, pada usia 78 tahun.

Ahli Majlis Tertinggi MIC L. Sivasubramaniam yang mengesahkan perkara itu berkata, mendiang yang diserang strok pada 2011 dan terlantar sejak itu meninggal dunia dalam tidur, kira-kira 8 malam.

“Hampir 11 tahun beliau lumpuh dan terlantar, beliau meninggal di rumahnya. Upacara pengebumian pada Khamis (7 Julai),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mendiang Subramaniam meninggalkan isteri Puan Sri Tina Subramaniam 70, dua anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Subramaniam juga pernah memegang jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam arena politik, Subramaniam mula menjadi ahli MIC pada tahun 1962 dan pernah menyandang jawatan sebagai setiausaha agung, naib presiden dan timbalan presiden.

Sementara itu, Setiausaha Agung MIC R.T Rajasekaran berkata, MIC melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Parti kami bersimpati kepada keluarga (mendiang) dan tentulah kita perlu mengingati perkhidmatan Tan Sri Subramaniam kepada negara dan parti katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here