Vaksinasi ‘walk-in’ warga asing di Lembah Klang dihentikan, penduduk tempatan meneruskannya

Vaksinasi secara jumpa terus atau ‘walk-in’ untuk semua warganegara Malaysia di Lembah Klang akan diteruskan namun ia hanya boleh dilakukan di 13 pusat pemberian vaksin (PPV) tertentu.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu berikutan bilangan jumpa terus untuk warganegara Malaysia didapati semakin berkurangan dari hari ke hari sejak inisiatif itu dimulakan 2 Ogos lepas.

Menurut CITF, bermula esok sembilan PPV secara jumpa terus dibuka iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Axiata Arena Bukit Jalil, Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Hotel Wyndham Acmar Klang, Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Stadium Tertutup Kuala Selangor, Dewan Seri Bernam dan Dewan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Bermula 25 dan 26 Ogos, empat PPV turut dibuka iaitu Le Pavilion Gamuda Garden Gombak, Bukit Beruntung Golf Resort, Galaxy Mall Ampang dan Universiti Multimedia Cyberjaya.

CITF memaklumkan individu yang terlepas suntikan dos kedua boleh mengunjungi mana-mana 13 PPV disenaraikan yang berhampiran dengan kediaman.

CITF menjelaskan individu akan dirujuk ke PPV yang lain sekiranya PPV tersebut tidak menawarkan vaksin daripada jenis yang sama dengan dos pertama mereka.

Menurut CITF, kaedah jumpa terus juga adalah berdasarkan first-come, first-serve atau mendahulukan siapa yang cepat bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV, yang individu jumpa terus akan diletakkan di bawah satu senarai untuk diminta hadir semula pada keesokan harinya sekiranya bekalan vaksin pada hari tersebut sudah habis digunakan.

Bagi bukan warganegara Malaysia di Lembah Klang, CITF memaklumkan kaedah jumpa terus yang dikhususkan di PPV Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga hari ini akan digantikan dengan vaksinasi melalui kaedah janji temu.

Ini bermakna, PPV tersebut tidak lagi menggunakan kaedah jumpa terus bukan warganegara bermula esok bagi memastikan proses pemvaksinan dapat berjalan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa.

Bukan warganegara yang masih belum mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan perlu berbuat demikian sama ada melalui MySejahtera, talian PICK di 1800-888-828 atau laman web www.vaksincovid.gov.my agar janji temu dapat diberikan.

CITF menjelaskan setiap warganegara yang hadir secara jumpa terus di PPV dan bukan warganegara yang pergi ke PPV mengikut janji temu perlu membuktikan bahawa mereka adalah pemastautin di Lembah Klang dengan membawa surat atau dokumen yang berkenaan seperti kad kerja, bil utiliti atau sebarang dokumen lain yang berkaitan.

Menurut CITF kaedah jumpa terus untuk penduduk Malaysia di negeri lain selain di Lembah Klang adalah diteruskan seperti biasa dan bergantung kepada negeri masing-masing.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here