Gerhana bulan penuh esok

Kuala Lumpur: Orang ramai boleh menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh esok yang akan berlaku sebelum bulan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan Bumi (apogee) iaitu pada jarak 404,923 kilometer (km).

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, fenomena itu dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.

Menurutnya, gerhana bulan penuh itu adalah ‘central lunar eclipse’ iaitu gerhana bulan yang berlaku apabila cakera bulan melalui paksi bayang umbra bumi yang berada di tengah-tengah bayang umbra bumi. Central lunar eclipse adalah gerhana penuh yang mempunyai nilai magnitud umbra yang tinggi, tempoh yang panjang dan nilai gamma yang rendah.

Magnitud umbra pada kali ini ialah 1.3607 dan nilai Gamma adalah 0.2570 dengan tempoh gerhana penuh maksimum adalah selama 85.7 minit,” katanya dalam kenyataan di Facebook (FB). MYSA berkata, fenomena gerhana bulan penuh di Malaysia itu berlaku mulai 4.02 petang dan berakhir pada 9.56 malam. Fenomena ini tidak dapat dilihat di Malaysia pada permulaan fasa gerhana penumbra dan separa kerana ia berlaku apabila bulan berada di bawah ufuk.

Orang ramai di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena itu apabila bulan mulai terbit di ufuk timur ketika ia mula mengalami fasa gerhana penuh bagi penduduk di Sabah dan Sarawak, manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum sehingga fasa gerhana penumbra berakhir pada 9.56 malam katanya.-My Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here