Dipanggil SPRM tapi bukan suspek – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai projek Jana Wibawa. Bekas Perdana Menteri itu berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan yang tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Muhyiddin menjelaskan, agensi itu memaklumkan beliau dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukan suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan. Mereka (SPRM) pun agak berlembut, tidak ada desakan. Saya fikir mereka sudah tahu. Saya tanya adakah saya suspek, dia (SPRM) kata bukan. Saya tanya (sama ada) mungkin saya akan dituduh, (SPRM) hanya minta saya menjelaskan hal-hal yang ditanya.

Saya menjelaskan juga apabila ditanya (SPRM) saya kenal atau tidak kontraktor. Saya kata tidak kenal. Tak pernah berjumpa pun dengan mereka. Nama syarikat pun saya tidak tahu, bila dia (SPRM) bacakan senarai syarikat. Saya sudah berikan kerjasama agak baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program derma darah anjuran Yayasan Tan Sri Muhyiddin Golf Charity di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan. Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, ada kemungkinan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut dipanggil SPRM untuk memberi keterangan, memandangkan proses perolehan berkenaan ditentukan sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (MoF) ketika itu. Untuk mereka (SPRM) tahu lebih lanjut, akan panggil Tengku Zafrul. Itu terserah kepada mereka. Jadi maknanya, itu saja spesifik berkenaan Jana Wibawa, tiada kena dengan (tuduhan) RM600 bilion, RM570 bilion atau RM85 bilion atau RM4.5 bilion.

Hal ini semua kita tahu, ia adalah tuduhan serius. Saya tidak terbabit. Saya bukan orang yang melulus. Saya tidak kenal siapa. Mereka (MoF) yang mempertimbang. Itu yang saya sudah jelaskan kepada SPRM katanya. Muhyiddin berkata, Jana Wibawa adalah satu projek diusahakan MoF yang dicadangkan oleh Tengku Zafrul ketika itu bagi membantu kontraktor Bumiputera yang terkesan teruk dengan pandemik COVID-19. Kalau tak dibantu… sebab sebahagian besar sudah gulung tikar. Idea itu datang daripada Tengku Zafrul dan saya setuju. Dibawa kepada Kabinet dan Kabinet luluskan.

Kemudian kita laksanakan dengan meminta persatuan pemborong Bumiputera mengemukakan nama-nama kontraktor yang diluluskan oleh CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) dengan jumlah (gred) tiga hingga lima bintang. Ini saja yang boleh mohon. Itu sudah diserahkan oleh persatuan Bumiputera, ada lebih 54 syarikat. Peraturan ini dibuat oleh pihak Menteri Kewangan yang mempunyai kuasa penentu dan pemilih juga adalah Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau berkata, selain MoF, ada agensi lain yang juga menilai, mempertimbang dan memperhalusi setiap permohonan syarikat yang mahu menyertai projek itu. Di sini yang terbabit dalam soal Pejabat Perdana Menteri (ketika Muhyiddin) adalah menyalurkan nama-nama (syarikat). ‘Submit’ kepada kita, syarikat yang sudah memenuhi kriteria itu, kategorinya. Lepas itu, pegawai saya beri kepada MoF.

Jadi proses mempertimbang, lulus atau tak, tidak membabitkan Perdana Menteri. Ini penting untuk saya jelaskan. Punca kuasa bukan di Pejabat Perdana Menteri. Punca kuasa pada peringkat MoF. Cuma minta disalurkan kepada saya supaya saya boleh kemukakan (kepada MoF),katanya.

Muhyiddin memaklumkan ketika itu, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidin turut mencadangkan supaya Pejabat Perdana Menteri memproses permohonan projek berkenaan tetapi beliau menolaknya. Saya tolak. Seolah-oleh dia mahu turun kuasa kepada Pejabat Perdana Menteri, saya takut. Saya tidak suka buat begitu. Saya kata ini bukan kerja Pejabat Perdana Menteri. Ini kerja yang harus diuruskan MoF atau agensi lain yang bertanggungjawab.

Jadi, apa yang terbabit dengan saya? Tidak ada. Adakah saya meluluskan? Tidak sama sekali. Ini antara perkara yang saya jelaskan dengan ada surat menteri dan pihak yang cadang, surat daripada saya kepada KSP yang menolak. Cuma sampai kepada mereka (SPRM),katanya.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here