Korban banjir di Perancis kian meningkat

Para pekerja penyelamat kelmarin menemui tiga lagi mayat mangsa banjir teruk yang melanda tenggara Perancis sepanjang hujung minggu lepas, dengan angka kematian dijangka meningkat lebih tinggi ketika pencarian diteruskan untuk mangsa yang masih hidup.

Empat kematian telah disahkan sekarang di Perancis dan dua di Itali, di mana pihak berkuasa sedang cuba untuk menentukan sama ada kematian ketiga membabitkan mayat seorang lelaki yang ditemui berhampiran sempadan Perancis, ada kaitan dengan banjir tersebut.

Beratus-ratus orang dipindahkan selepas ribut menyebabkan penurunan hujan dalam jumlah yang besar telah mengubah anak sungai menjadi sungai berarus deras yang menghanyutkan kereta, rumah dan jambatan di kawasan Alps Perancis di utara Nice.

Pihak berkuasa menyatakan lapan orang masih disenaraikan sebagai hilang kelmarin, dalam banyak kes selepas beberapa saksi melaporkan telah melihat mereka dihanyutkan air bah, sementara 13 lagi masih belum diketahui nasib mereka sejak Jumaat.

“Saya telah kehilangan segala-galanya.

“Rumah saya yang sepanjang 25 meter telah ditenggelami Sungai Vesubie,” kata Alain Brucy, 63, ketika beberapa trak membawa air, makanan bayi, tisu tandas dan beberapa barangan keperluan lain tiba di Roquebilliere, perkampungan Perancis berhampiran sempadan dengan Itali.

“Kami sedang cuba untuk menangani keadaan ini dan memastikan keadaan teratur, namun kami terfikir bagaimana kami akan melakukannya, dan berapa lama masa yang akan diambil,” kata timbalan datuk bandar Jacqueline Cornillon, 74.

“Keutamaan adalah untuk memindahkan mereka yang ingin meninggalkan ‘zon perang’ ini yang telah didiami mereka sejak dua tahun lepas,” pegawai kanan kerajaan wilayah Bernard Gonzalez, memberitahu AFP, menyatakan beberapa kawasan kelihatan seakan-akan telah diletupkan.

Kira-kira 400 orang telah dipindahkan dengan helikopter setakat ini, menurut beliau.

Gonzalez menyatakan empat mayat telah ditemui di sebuah pantai di Liguria, Itali Ahad lepas yang kemungkinan berasal dari kawasan perkuburan yang terbongkar akibat air sungai yang melimpahi tebingnya.

“Ini adalah bukan kematian terkini, namun mayat lama,” jelas beliau.

Pihak berkuasa telah mengumumkan wilayah tersebut sebagai zon bencana alam dan Presiden Emmanuel Macron dijangka melawat kawasan itu minggu ini.

Pakar meteorologi Luca Mercalli memberitahu akhbar Fatto Quotidiano kelmarin bahawa di Limone Piemonte dan Roya Valley kira-kira 600 milimeter hujan direkodkan dalam masa kurang 24 jam, meliputi separuh daripada penurunan purata hujan tahunan dalam masa hanya sehari.

Bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon masih lagi tidak berfungsi di sebahagian besar wilayah dan pihak berkuasa telah menutup akses kepada pendaki supaya pasukan penyelamat gunung boleh memberikan tumpuan kepada pencarian mangsa.

Di Roya Valley yang paling terjejas, beberapa kampung masih terputus hubungan sepenuhnya selepas jalan raya runtuh atau terputus akibat banjir, atau dihalang pokok tumbang atau batu dan benda-benda lain.

Beberapa traktor telah dikerahkan bagi membantu kampung dalam usaha menggali, termasuk beberapa jentera yang dibawa masuk oleh rejimen tentera Perancis.

“Mereka telah melakukannya sejak pagi tadi, dan mereka sedang melakukan apa yang termampu, namun kamu dapat melihat tangga di sana, itulah jambatan yang telah dihanyutkan oleh air,” kata Josiane Osanga, 78, di perkampungan Breil-sur-Roya.

Di kawasan berhampiran, penduduk menggunakan panah dan busur bagi menghasilkan satu sambungan sementara bagi menghantar ubat-ubatan dan barangan lain ke rumah-rumah yang terperangkap di seberang sungai yang jauh.

“Alat jana kuasa kecemasan turut digunakan supaya kami boleh menamatkan pengasingan yang sukar ini yang turut merumitkan usaha untuk melakukan bantuan tertentu,” kata Philippe Pradal, presiden kawasan metropolitan Nice.

Pihak berkuasa turut memindahkan penghuni rumah penjagaan warga emas dan pesakit dari hospital dari beberapa kampung dan pekan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here