Najib tiba di Mahkamah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di pekarangan mahkamah di sini bagi mendengar keputusan Mahkamah Tinggi sama ada beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat meminda laporan audit 1MDB.

Beliau dilihat tiba di sini pukul 8.42 pagi tadi dipercayai menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) model X70 diiringi anggota polis. Beberapa penyokong bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut hadir sebagai tanda solidariti terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Arul Kanda tiba di mahkamah pukul 9.13 pagi ini. Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminta pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi beliau daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib akan mewakili pendakwaan manakala peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N.Sivananthan masing-masing hadir bagi pihak Najib dan Arul Kanda.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dan 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

Tahun lalu, Arul Kanda menjadi saksi dalam kes itu selepas mahkamah memohon permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 7 September 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.- Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here