Lelaki bertukar isteri kerana mahu balas dendam

PATNA: Demi membalas dendam, seorang lelaki di India sanggup bertukar isteri dengan mengahwini pasangan kepada kekasih isterinya. Neeraj berbuat demikian selepas berasa marah dengan isterinya, Ruby Devi yang melarikan diri dengan lelaki lain.

Lapor Times Now, kisah pelik itu berlaku di daerah Khagaria di Bihar. Dilaporkan, Ruby berkahwin dengan Neeraj pada 2009 dan pasangan itu mempunyai empat orang anak. Bagaimanapun, selepas beberapa tahun, Neeraj mendapat tahu isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki bernama Mukesh.

Berdasarkan laporan media ETV Bharat, Ruby dan Mukesh kemudian melarikan diri dan berkahwin pada Februari lalu. Apabila Neeraj mengetahui perkara itu, dia membuat laporan polis terhadap Mukesh kerana menculik isterinya. Neeraj memaklumkan jawatankuasa kampung atau panchayat mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan isu itu namun Mukesh enggan mematuhi keputusannya. Mukesh juga melarikan diri sejak itu, jelas laporan itu.

Dilaporkan, Mukesh sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, malah apa yang mengejutkan nama isterinya juga adalah Ruby. Demi membalas dendam, Neeraj memutuskan untuk berkahwin dengan isteri Mukesh pada bulan lalu. Kisah perkahwinan pasangan itu menjadi tular dalam media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here