Pekerja diserang, pengurusan Pelita beri kerjasama penuh pada polis

Kuala Lumpur : Pengurusan Pelita Samudra (M) Sdn Bhd memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung kejadian pekerja mereka diserang pelanggan dipercayai mabuk di sekitar Cyberjaya, di Sepang, semalam.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk KK Sihabutheen Kirudu Mohamed berkata, kejadian itu terjadi pada jam 7.30 malam apabila suspek cuba mengambil lauk menggunakan tangan. Tindakan itu tidak dibenarkan pekerja di restoran yang memaklumkan pelanggan boleh mendapatkan makanan yang dipesan di meja.

“Tiga individu terbabit mula mengganggu gugat pekerja dan cuba melakukan provokasi namun pekerja restoran dilihat tenang dan tidak menunjukkan sebarang reaksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu kejadian itu tular selepas dua klip video berdurasi satu mini 31 saat dan dua minit 14 saat dimuatnaik di media sosial memaparkan suspek menolak, memukul dan membaling pinggan ke arah mangsa. Susulan itu, polis dilaporkan telah menahan tiga lelaki tempatan berusia 50 dan 51 tahun hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324, Seksyen 427, Seksyen 50 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here