Bahan dorong kanser dikesan dalam 2 jenis mi segera buatan Malaysia, Indonesia

TAIPEI: Dua jenis mi segera buatan jenama Malaysia dan Indonesia dikesan mengandungi bahan yang mendorong penyakit kanser, menurut Jabatan Kesihatan Taipei, semalam. Jabatan itu mengumumkan hasil pemeriksaan dilakukan terhadap mi segera yang terdapat dalam pasaran di Taipei, tahun ini, lapor agensi berita CNA.

Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan, pihaknya mendapati satu kumpulan mi segera berjenama ‘Ah Lai White Curry Noodles’ dari Malaysia dan satu lagi kumpulan mi segera berjenama ‘Indomie: Special Chicken Flavour’ buatan Indonesia, mengandungi etilena oksida yang juga sebatian kimia dikaitkan dengan penyakit limfoma dan leukemia.

Jabatan itu berkata, ujian dijalankan berjaya mengesan etilena oksida dalam kedua-dua mi dan peket perencah produk Malaysia terbabit, manakala produk Indonesia berkenaan pula hanya terkandung dalam peket perencah. Berdasarkan maklumat dalam laman sesawang Biro Bahan Kimia dan Toksik bahawa Pentadbiran Perlindungan Alam Sekitar peringkat Kabinet, etilena oksida adalah beracun apabila dimakan atau dihidu.

Selain mendorong penyakit limfoma serta leukemia, etilena oksida juga boleh mengakibatkan kerengsaan pada kulit dan mata yang terkena bahan terbabit, malah ia berisiko menyebabkan kecacatan kelahiran serta keturunan.

Ketua Bahagian Makanan dan Ubat-Ubatan, Jabatan Kesihatan Taipei, Chen Yi-ting, berkata pemeriksaan mi segera dilakukan dengan memilih secara rawak 30 produk dari pasar raya, kedai serbaneka, pasar raya besar, pasar basah tradisional, kedai makanan Asia Tenggara dan pengimport borong di bandar itu. – BERNAMA-CNA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here