Jual emas RM25 juta, 6 individu termasuk Datuk direman 3 hari

TAWAU : Enam individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penipuan terhadap deklarasi penjualan hasil perlombongan emas bernilai RM25 juta.

Semua suspek iaitu lima lelaki dan seorang wanita yang berumur antara 42 hingga 67 tahun ditahan di pejabat SPRM Tawau, tengah malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu ke atas semua suspek selepas membenarkan permohonan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang dibuat Pegawai Pendakwa SPRM, Asmawi Kulup Lam, di Mahkamah Majistret Tawau, di sini, hari ini.

Difahamkan, semua suspek termasuk ketua pegawai eksekutif dan pengarah syarikat dengan curangnya disyaki memperdaya Kerajaan Sabah dengan mengemukakan penyata penjualan emas yang mempunyai butiran palsu. 10 suspek sindiket seludup PATI Filipina bebas dengan jaminan.

Perbuatan itu dilakukan dipercayai untuk mengelak dan membayar royalti emas sebenar kepada Kerajaan Sabah terhadap hasil emas yang dilombong di Bukit Mantri, dekat sini. Difahamkan sebanyak 100 kilogram emas membabitkan nilai RM25 juta yang tidak dilaporkan penghasilannya dan sepatutnya menyumbang pembayaran royalti berjumlah RM1.25 juta kepada Kerajaan Sabah bagi tempoh bermula 2020 hingga 2022.

Penipuan dibuat melalui pakatan membabitkan dua syarikat yang mana semua suspek mempunyai kepentingan di dalamnya. Terdahulu, semua suspek tiba di perkarangan mahkamah di sini, kira-kira jam 11 pagi dengan masing-masing menaiki kenderaan diiringi pegawai SPRM sebelum dibawa ke bilik mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here