Saratok: Dua orang maut, manakala dua lagi parah selepas pikap dinaiki terbabas dan terbalik ke dalam longkang di Jalan Berayang Saratok-Sarikei, hari ini.
Mangsa yang maut ialah Voon Kuet Pin 55, dan Wong Hung Ling 41, yang juga wanita, sementara mangsa parah ialah Voon Lek Siong 33, dan Danson Tu Kah Ann 15.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 4.06 petang dan menghantar anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi kejadian.
Kemalangan membabitkan toyota Hilux dipercayai kemalangan kendiri dan terdapat empat mangsa iaitu tiga lelaki dan seorang wanita dewasa katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, tiada mangsa tersepit namun mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Saratok.
Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, katanya yang memberitahu pihaknya menguruskan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.




















