Georgetown, Sep 16.
Jerubu datang balik. Empat stesen kaji cuaca di Pulau Pinang mencatat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) pada tahap sederhana. Mercu tanda Jambatan Pulau Pinang hampir tidak kelihatan akibat jerebu di sini, jam 11 pagi tadi.
Pencemaran jerebu yang kembali melanda Malaysia menjadi punca kebimbangan terhadap kesihatan awam dan rakyat negara ini perlu memahami risiko berkaitan bagi membolehkan mereka mengambil langkah pencegahan yang berkesan, kata pakar kesihatan.
Pakar Perunding Pernafasan dan Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway Dr Kow Ken Siong berkata pendedahan yang berterusan terhadap udara tercemar boleh membawa kepada penyakit pernafasan seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), radang paru-paru dan kanser paru-paru.
Beliau berkata pencemaran udara termasuk jerebu dikaitkan dengan kematian pramatang, jangkitan dan pelbagai penyakit dengan penyakit pernafasan kronik menduduki tempat ketiga sebagai penyebab kematian di seluruh dunia pada 2019.
Di Malaysia, keadaan ini menjadi antara faktor penyumbang yang menyebabkan kemasukan ke hospital serta membawa kematian dan ia merangkumi hampir 20 peratus daripada hospital awam serta lebih 12 peratus daripada hospital swasta pada 2020, Dr Kow berkata memandangkan jerebu adalah isu yang berterusan di negara ini, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk memahami bagaimana ia menjejaskan kesihatan pernafasan dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menjaga kesejahteraan mereka.





















