Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden tembakan di Thailand

Petaling Jaya, Okt 4.
Kementerian Luar mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden tembakan rambang di Siam Paragon Mall, Bangkok, Thailand.

Dalam kenyataan, kementerian itu berkata menurut laporan awal, seorang lelaki bersenjatakan pistol melepaskan tembakan rambang yang meragut dua nyawa dan mencederakan lima yang lain.

Penembak rambang tersebut juga dilaporkan telah ditahan oleh pihak berkuasa di tempat kejadian.

Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden tersebut, katanya.

Menurut kenyataan itu, rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

Sebarang perkembangan terkini mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Video yang tular di media sosial menunjukkan keadaan kelam-kabut dengan orang ramai termasuk kanak-kanak bertempiaran lari keluar dari premis itu, dalam kejadian kira-kira 4.20 petang tadi.

Dalam satu video lain, orang ramai dilihat berlindung dalam gelap di sebuah restoran di pusat beli-belah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here