Remaja sembunyi untuk tuntut wang tebusan RM283,000

Petaling Jaya, Okt 12.
Seorang remaja lelaki mengalami kerugian RM283,000 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis pada 30 September lalu.

Sindiket berkenaan turut mengarahkan remaja 18 tahun itu bersembunyi bagi membolehkan sindiket tersebut menuntut wang tebusan sebanyak RM300,000 daripada keluarganya, selepas mangsa tidak lagi mampu memberi wang kepada mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis berjaya menemui mangsa dalam keadaan ketakutan di sebuah inap desa yang disewa sendiri remaja berkenaan di Shah Alam pada 5 Oktober lepas, susulan laporan polis yang dibuat ibunya pada 3 Oktober.

Beliau berkata remaja lelaki itu menerima panggilan daripada anggota sindiket berkenaan pada 30 September lepas yang menyamar sebagai anggota polis memberitahu terdapat bungkusan mengandungi dadah dialamatkan kepadanya.

Sindiket itu kemudian mengarahkan remaja itu membuat bayaran untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan. Remaja itu kemudian memasukkan wang berjumlah RM283,000 dalam empat transaksi berasingan ke dua akaun berbeza empat hari berturut-turut mulai 30 September lepas, katanya menurut laporan Bernama.

Mohd Shuhaily berkata selepas remaja itu tidak lagi mampu membayar wang yang dikehendaki oleh individu kononnya pegawai polis itu, dia disuruh menyembunyikan diri pada 3 Oktober dan memberikan nombor telefon ibunya kepada sindiket berkenaan.

Beliau berkata sindiket itu kemudian menghubungi ibu remaja terbabit, mendakwa anaknya telah diculik dan menuntut wang tebusan RM300,000.

Hasil siasatan polis telah berjaya menahan dua lelaki berusia 32 dan 24 tahun di Pulau Pinang dan Kulim Kedah pada 7 dan 9 Oktober lepas yang berperanan sebagai keldai akaun dan orang pengantara sindiket berkenaan.

Lelaki yang berperanan sebagai pengantara mendakwa menerima bayaran RM6,000 sebulan daripada sindiket berkenaan untuk mengeluarkan wang yang dimasukkan oleh mangsa penipuan untuk dimasukkan ke akaun yang lain.

Kedua-dua mereka direman hingga 14 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Menurut Mohd Shuhaily pihak polis tidak pernah membincangkan hal kes melalui panggilan telefon dan orang ramai diminta berhati-hati apabila menerima panggilan mendakwa sebagai anggota polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here