Sanggup tolak kerja syarikat minyak, tekad ceburi bidang ternak

Minat mendalam terhadap penternakan haiwan membuatkan seorang belia dari Felda Chini 2 dekat sini, sanggup menolak tawaran bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas.

Mohd Faiz Ikhwan Salleh, 27, berkata, beliau menolak tawaran itu bagi terus menternak pelbagai haiwan di ladang kelapa sawit peninggalan Allahyarham ayahnya, yang kini menjana pendapatan lumayan buatnya.

Graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal itu berkata, beliau membeli sedikit demi sedikit haiwan ternakan berkenaan bermula pada 2018 dan ketika ini memiliki 14 ekor lembu, 25 ekor kambing, 80 ekor itik daging dan 120 ekor itik telur.

“Idea untuk memulakan aktiviti penternakan ini bermula pada 2016, apabila keluarga meminta saya untuk menjaga ayah saya yang sakit, yang seterusnya menyebabkan saya mengambil keputusan untuk berhenti bekerja di sebuah syarikat perladangan.

“Oleh kerana tiada pekerjaan dan tidak begitu sibuk menjaga arwah ayah saya pada ketika itu selain minat dalam bidang ini, saya mengambil keputusan untuk memulakan aktiviti penternakan ini dengan modal keseluruhan kira-kira RM5,000, bagi mula membeli haiwan ternakan dan mendirikan kandang,” katanya ketika ditemui di ladang ternakannya.

Beliau berkata, pelanggannya yang kebanyakannya adalah penduduk di kawasan Chini, biasanya akan berurusan dengannya untuk membeli itik daging dan telur itik.

Katanya, seekor itik daging dijual dengan harga kira-kira RM50 seekor manakala sebiji telur itik dan telur itik yang sudah diproses menjadi telur masin, dijual dengan harga masing-masing 70 sen dan RM 1 sebiji.

Ternakan matang lain pula katanya, dijual secara berkala dengan harga RM3,000 sehingga RM3,500 bagi lembu dan RM1,000 sehingga RM1,800 bagi kambing.

Mohd Faiz berkata, bagi menambah baik dan memaksimumkan hasil pendapatannya, beliau sentiasa memikirkan bagaimana untuk menurunkan kos operasi hariannya.

Katanya, selain mencampurkan makanan palet dan membiarkan ternakannya meragut rumput bagi lembu dan kambing, beliau turut membeli dan merebus beras hancur bagi diberikan kepada itik daging.

“Ini menjadikan kos keseluruhan bagi makanan palet bagi semua ternakan adalah kira-kira RM40 sehari.

“Bagi menjimatkan kos juga, saya menggunakan kayu yang diambil dari kawasan berdekatan bagi membina dan memperbaiki kandang dan pagar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here