Polis diseret kereta suspek samun

Teluk Intan, Okt 24.
Seorang anggota polis berdepan detik cemas apabila diseret kereta yang dipandu suspek kes samun yang mahu melarikan diri di Masjid Labu Kubong, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata kejadian berkenaan berlaku semalam, semasa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah itu cuba menahan dua suspek masing-masing berusia 28 tahun dan 31 tahun setelah mengekori mereka dari Ipoh selepas menerima aduan kejadian samun bersenjatakan parang jam 11.30 pagi.

Menurutnya, semasa proses tangkapan itu, suspek yang menaiki Perodua Myvi membuat pusingan U secara tiba-tiba dan mengundurkan kenderaannya hingga melanggar hadapan kenderaan polis.

Polis kemudiannya keluar dari kenderaan dan seorang anggota polis cuba untuk membuka pintu belakang kereta suspek untuk melakukan tangkapan ke atas suspek yang duduk di bahagian belakang.

Bagaimanapun, ia gagal kerana suspek yang memandu mengundur secara berbahaya menyeret anggota tadi menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah cermin hadapan kereta yang dinaiki oleh suspek untuk mempertahankan diri, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek terus memandu secara mengundur sehingga dihalang oleh sebuah kenderaan lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here