Cuba bunuh koperal polis – Penoreh kena jel 8 tahun, denda RM3,000

Kuala Kangsar, Okt 25.
Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh anggota polis menggunakan kapak, minggu lalu. Mohamad Saidi Che Omar, 31, dihadapkan di hadapan Hakim, Rohaida Ishak untuk pendakwaan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh cuba membunuh Koperal Reymee Abdul Rahman, 38, dengan cara melibas sebilah kapak ke bahagian kepala dan lengan mangsa di sebuah kebun sawit FELDA Bersia di Gerik, Hulu Perak, kira-kira jam 11.30 pagi, 17 Oktober lalu.

Kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, serta jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, hukuman penjara boleh dikenakan sehingga 20 tahun. Mohamad Saidi mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun bermula tarikh tangkap 17 Oktober lalu serta denda RM3,000 atau tambahan penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here