Alor Gajah, Okt 25.
Pemandu sebuah bas ekspres maut, manakala enam penumpangnya cedera selepas terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 220.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, pemandu bas terbabit, Zainuddin Jaidun, 49, maut di lokasi kejadian, manakala semua mangsa yang cedera termasuk yang parah dihantar ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata kejadian berlaku ketika bas ekspres yang membawa tujuh penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Terminal Bas Seremban, Negeri Sembilan.
Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila bas ekspres itu merempuh treler di hadapannya yang dipandu lelaki berusia 52 tahun yang sedang menuju ke Rawang, Selangor.





















