Kuala Kangsar, Nov 7.
Polis berjaya menahan tiga lelaki berhubung kes rompakan membabitkan barang kemas bernilai RM1.4 juta di tempat letak kereta di hadapan sebuah kedai emas di sini pada Isnin.
Kesemua suspek tempatan berusia antara 20 hingga 50 tahun itu diberkas di sebuah lokasi di Shah Alam, Selangor sekitar jam 2.10 petang selepas hampir tiga jam kejadian dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam kes rompakan itu.
“Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar dan dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 13 November depan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan barang kemas bernilai hampir RM1.4 juta yang dilarikan.
“Buat masa ini, barang kemas masih belum dijumpai.
Media melaporkan, maklumat kejadian itu diterima polis pada jam 11.22 pagi melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan tukul.

















